Wednesday 29 August 2012

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI): HARAPAN DAN SANDARAN

PENGENALAN

Dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dimulakan pada tahun 2003, adalah satu dasar yang dipersoalkan oleh ramai intelek Melayu dan kaum lain dengan serius. Terdapat beberapa isu besar yang sering dikemukakan terhadap perlaksanaan dasar ini. Pertama, dasar ini ditentang kerana melanggar Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Kedua, tujuan memandaikan rakyat melalui sebuah bahasa asing adalah bertentangan dengan teori pembelajaran (Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan, 2009). Kita belajar dengan berkesan melalui bahasa ibunda. Proses pembelajaran melalui bahasa ibunda sekarang sudah terbukti berjaya, dan dasar PPSMI ini memutar jarum jam ke belakang. Ketiga, banyak kesan negatif penggunaan Bahasa Inggeris ini kepada hasrat negara bagi membina bangsa Malaysia. Seterusnya, tujuan meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris melalui pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik adalah sesuatu yang tidak dapat diterima dari segi pembelajaran bahasa.
Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ialah nama rasmi bagi satu dasar pendidikan Malaysia yang menetapkan Bahasa Inggeris menggantikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perantara mata pelajaran Sains dan Matematik disemua peringkat di sekolah. Dasar PPSMI telah dilaksanakan di bawah pentadbiran Tun Dr.Mahathir bin Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia pada tahun 2003. Sejak dasar ini diperkenalkan banyak perdebatan mengenainya telah tercetus. Akhirnya pada 8 Julai 2009 dasar ini akan dimansuhkan sepenuhnya seperti diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang merangkap Menteri Pelajaran iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin. Akhirnya pada sesi persekolahan 2012 dasar ini dihapuskan sepenuhnya dengan pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).
            PPSMI telah termaktub sebagai dasar kerajaan hasil Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada 19 Julai 2002 di bawah pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Perlaksanaan program ini dilaksanakan secara berperingkat bermula pada sesi persekolahan tahun 2003 dengan perintisnya ialah semua murid Tahun 1 untuk semua peringkat sekolah rendah manakala Tingkatan 1 serta Tingkatan 6 Rendah untuk peringkat Sekolah Menengah. Pelaksanaan penuh PPSMI bagi peringkat sekolah menengah telah dijalankan pada tahun 2007 manakala sekolah rendah pula  pada tahun 2008.

OBJEKTIF

Umum mengetahui bahawa Sains dan Matematik adalah bidang yang menjadi asas dan berperanan penting dalam kemajuan dan pembangunan sesebuah negara. Justeru itu, rasional peralihan bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik daripada Bahasa Malaysia ke Bahasa Inggeris  adalah atas dasar keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan sumber tenaga manusia untuk mencapai taraf negara maju dan persiapan dari peringkat awal persekolahan untuk bersaing dalam era globalisasi.Justeru itu pengenalan dasar PPSMI merupakan satu bentuk pengkomersilan pendidikan menerusi bahasa sebagai medium utama (Dr. Ragbir Kaur Joginder Singh,2012). Pelbagai inovasi dan penemuan baru dalam bidang ini berlaku dengan pantas dan capaian maklumat mengenai perkembangan dalam bidang ini banyak terdapat dalam Bahasa Inggeris.
            Selain itu, Bahasa Inggeris adalah bahasa perhubungan antarabangsa dan penguasaan dalam Bahasa Inggeris yang baik akan memudahkan perolehan ilmu dalam pelbagai bidang terutamanya Sains dan Matematik. Ketika mencadangkan dasar ini, Tun Dr. Mahathir berpendapat bahawa Bahasa Malaysia makin jauh ketinggalan dalam era globalisasi. Melalui pengenalan dasar ini beliau berharap ia mampu memberi kelebihan kompetitif kepada negara dan seterusnya dapat berdaya saing di peringkat dunia.

PELAKSANAAN
PPSMI dilaksanakan pada sesi persekolahan 2003 melibatkan pelajar Tahun 1 bagi sekolah rendah dan Tingkatan 1 bagi sekolah menengah. Bahan-bahan pembelajaran PPSMI berbentuk pakej yang terdiri daripada beberapa komponen utama seperti berikut:-
                      i.        Buku Teks
                    ii.        BukuLatihan dan Aktiviti
                   iii.        Buku Panduan Guru
                   iv.        My CD (Pupil’s CD-ROM)
                    v.        CD-ROM Guru
                   vi.        Buku Amali Sains
                  vii.        Buku Glosari

Namun begitu pelaksanaan program ini diperingkat Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) mengalami sedikit bantahan yang dibuat oleh Persatuan Dong Jiao Zong. Melalui persetujuan bersama maka pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik  menggunakan Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina secara serentak.



PANDANGAN DAN REAKSI

Sejak awal pelaksanaan dasar PPSMI lagi, banyak tentangan dan kritikan terhadap pelaksanannya diterima daripada pelbagai pihak termasuk ahli politik, akademik, ibu bapa dan pelajar sendiri. Antara isu-isu yang diketengahkan termasuklah kesukaran murid-murid mengikuti pelajaran. Guru-guru pula sukar menyesuaikan diri dengan perubahan bahasa perantara kerana sebagai seorang guru, mereka mempunyai peranan untuk mewujudkan generasi berpendidikan tinggi yang berkemahiran dan berketerampilan (Dr Ragbir Kaur Joginder Singh, 2012). Selain itu, kesannya terhadap penguasaan bahasa ibunda murid-murid terutamanya di peringkat sekolah rendah.
Kanak-kanak lebih cepat belajar dalam bahasa ibunda, oleh itu bagi kanak-kanak yang bahasa ibundanya bukan Bahasa Inggeris akan ketinggalan berbanding kanak-kanak yang bahasa ibundanya merupakan Bahasa Inggeris. Ini akan memberi kesan negatif kepada kanak-kanak yang bersekolah di luar bandar dalam mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran dengan baik. Seterusnya menyebabkan mereka keciciran berbanding kanak-kanak yang seusia dengan mereka.

PERKEMBANGAN

Keputusan rasmi kelompok pertama sekolah menengah yang melalui pengajaran dan pembelajaran menerusi dasar PPSMI mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2007 menunjukkan peningkatan khususnya bagi mata pelajaran berkenaan Sains dan Matematik, sekaligus membuktikan bahawa bahasa perantara bukan menjadi penghalang dalam kejayaan mengikuti pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik. Ini selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan merujuk kepada kesatuan kurikulum apabila semua sekolah menggunakan kurikulum yang standard termasuklah penggunaan bahasa pengantar (Sufean Hussin, 2008).
Manakala pada tahun 2008 kumpulan pertama pelajar sekolah rendah perintis PPSMI menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Para pelajar diberi pilihan menjawab soalan Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina atau Tamil atau lebih dari satu bahasa tersebut. Keputusan rasmi mencatatkan hasil yang menggalakkan dari segi penggunaan Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Walaubagaimanapun, keputusan bagi mata pelajaran berkenaan dipertikaikan oleh sesetengah pihak. Ini kerana menurut Presiden Kesatuan Guru-Guru Semenanjung Malaysia, Mohd Sabri Mohd Arshad, penguasaan subjek berkenaan adalah dari kalangan pelajar yang tinggal di bandar dan mempunyai latarbelakang keluarga yang berpendidikan tinggi. Mereka yang tinggal di luar bandar masih menggunakan bahasa ibunda, maka memberi kesan kepada jurang perbezaan yang jauh.

KAJIAN YANG DIJALANKAN BERKAITAN DASAR PPSMI

Beberapa kajian telah dijalankan sejak dasar ini diperkenalkan yang melihat pelbagai sudut pendekatan keberkesanannya, antaranya:-

                      i.        Kajian Permuafakatan Badan Ilmiah Nasioanal (PEMBINA)

Kajian yang dijalankan oleh PEMBINA bertajuk “Tahap Kompetensi Guru dalam PPSMI serta Implikasinya Terhadap Pembangunan Modal Insan Murid” mendapati PPSMI membantutkan tahap kecerdasan murid serta merugikan generasi akan datang. Kajian ini mendapati PPSMI hanya mampu menunjukkan peningkatan minimum kepada murid dan mengurangkan minat untuk mempelajari subjek Sains dan Matematik dalam kalangan murid-murid.Kajian yang dijalankan ini menggunakan kepakaran 53 pakar bahasa dan menelan belanja sebanyak RM470, 000 yang melibatkan beberapa buah universiti tempatan.

Antara hasil kajian yang dijalankan mendapati:
                      i.        Wujudnya kerugian yang berganda kepada murid terutamanya kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit iaitu Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
                    ii.        PPSMI telah dan akan membunuh minat, semangat dan keghairahan murid-murid untuk belajar Sains dan Matematik sejak di peringkat sekolah rendah lagi.
Menerusi kajian yang dijalankan, rumusan yang dapat dibuat ialah dasar PPSMI harus ditamatkan dan mengembalikan sistem pengajaran dan pembelajaran sebelum dasar dilaksanakan pada tahun 2003.

                    ii.        Kajian Prof Dr. Nor Hashimah Jalaludin

Kajian yang dijalankan pada tahun 2004 menunjukkan 75 peratus pelajar bersetuju belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris mendatangkan masalah pemahaman dan 77 peratus bersetuju bahawa Bahasa Malaysia mampu menyampaikan Sains dan Matematik dengan berkesan. Kajian sama yang dibuat ke atas guru pula mendapati 96 peratus guru bersetuju pelajar semakin kurang minat dalam Sains dan Matematik sejak diajar dalam Bahasa Inggeris. Manakala 98 peratus guru bersetuju pelajar mempunyai masalah memahami Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Kajian ini melibatkan sampel kajian seramai 971 orang pelajar bumiputera dan bukan bumiputera dalam aliran kebangsaan di bandar dan luar bandar. Sementara 43 orang guru terlibat yang berpengalaman mengajar 1 hingga 20 tahun berumur dalam lingkungan 25 tahun ke atas semasa kajian dibuat.

                   iii.        Universiti Pendidikan Sultan Idris

Pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris telah melakukan tiga tinjauan soal selidik serta ujian yang kemudiannya telah diterbitkan pada April 2008. Tinjauan yang dijalankan adalah berkaitan kesan dasar PPSMI melibatkan 27 buah sekolah rendah pada Februari 2007, Julai 2007 melibatkan 13 buah sekolah dan Januari 2008 membabitkan 28 buah sekolah. Hasil kajian menunjukkan objektif asal dasar PPSMI tidak tercapai bahkan membawa kesan negatif, menyusah dan melemahkan lagi pembelajaran Sains dan Matematik pelajar serta terlalu sedikit peningkatan pembelajaran Bahasa Inggeris pelajar.
Namun begitu, kajian yang dijalankan ini menerima bidasan kerana wujudnya kepincangan. Antara kelemahan utama yang dilihat menerusi kajian ini ialah kelemahan berbahasa Inggeris dikaitkan dengan kegagalan dasar padahal ini masih boleh dibaiki, kekurangan analisa statastik dalam data yang memerlukan sampel yang pelbagai dan ketiadaan kelompok kawalan sebagai alat perbandingan statistik yang mengukuhkan hujah yang diperolehi. Ini menjadikan hasil kajian ini seolah-olah tidak menyokong dengan sebaiknya saranan kajian ini agar memansuhkan dasar ini.

KESAN NEGATIF

Berdasarkan pelbagai kajian yang dijalankan membuktikan bahawa PPSMI membawa kesan negatif di peringkat sekolah rendah, termasuk amaran dari Kongres Pendidikan Melayu Kedua bahawa 500,000 orang pelajar melayu akan keciciran dalam mata pelajaran berkenaan kerana lemah menguasai Bahasa Inggeris. Bagi murid SJK (C) pula bukan sahaja menjejaskan pembelajaran Sains dan Matematik  bahkan penguasaan Bahasa Cina dalam kalangan murid-murid . Persatuan Pendidikan Tamil juga turut meluahkan kebimbingan murid-murid SJK (T) yang kebanyakannya berasal dari keluarga miskin akan turut menghadapi keciciran kerana ketidakmampuan menguasai Bahasa Inggeris akibat keadaan sosio ekonomi mereka.

PENGGUNAAN BAHASA IBUNDA LEBIH SESUAI

Sistem pendidikan di Malaysia telah berpandukan kepada empat tonggak pendidikan UNESCO yang diperkenalkan pada tahun 1993 antaranya belajar untuk tahu dan menguasai ilmu (Dr.Ragbir kaur Joginder Singh, 2012). Justeru itu amat sesuai dengan satu kajian UNESCO yang dijalankan menegaskan pembelajaran mata pelajaran terpenting diperingkat sekolah lebih sesuai diajar dalam bahasa setempat. Ini sejajar dengan resolusi pendidikan yang diluluskan oleh UNESCO yang berbunyi:
“ Berkenaan kepentingan pendidikan, kami menggesa supaya bahasa ibunda digunakan selama yang boleh dalam semua peringkat pendidikan. Ini lebih-lebih lagi penting supaya kanak-kanak memulakan pendidikan mereka dalam bahasa ibunda sebagai bahasa penghantar, kerana itulah bahasa yang sangat mereka fahami, dan penggunaan bahasa ibunda akan menghapuskan kelainan antara bahasa di rumah dan bahasa di sekolah. ”

DASAR MEMIHAK KEPADA KELUARGA DI BANDAR

            Dasar PPSMI ini memihak berat sebelah kepada anak-anak keluarga di kawasan bandar yang berpendapatan tinggi. Ini kerana kebanyakan ibu bapa mereka berpendidikan tinggi sudah tentu penggunaan Bahasa Inggeris dalam kalangan mereka merupakan sesuatu yang biasa dalam kehidupan seharian. Disamping itu meluaskan lagi jurang antara golongan kaya dan miskin, baik di bandar mahupun di luar bandar. Malahan ini boleh menjejaskan pemahaman konsep Sains dan Matematik kepada murid-murid biasa kerana tidak mempelajarinya dalam bahasa ibunda mereka.

http://www.malaysiakini.com/news/108063

No comments:

Post a Comment