Wednesday 29 August 2012

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI): HARAPAN DAN SANDARAN

PANDANGAN DAN TENTANGAN TERHADAP DASAR PPSMI

Seperti diketahui, ramai pihak yang menentang dasar ini dijalankan kerana melihat kepada kemunduran Bahasa Melayu itu sendiri. Ramai pihak yang amat mengalu-alukan usaha kerajaan untuk memperkenalkan negara ini ke peringkat global, namun apabila meminggirkan Bahasa Melayu dalam arus pendidikan nasional, maka ia seolah-olah menghalang usaha perpaduan bagi mewujudkan satu bangsa Malaysia melalui satu bahasa pertuturan nasional. Antara pihak yang menentang usaha kerajaan ini ialah:-

                      i.        Bantahan Golongan Sasterawan, Budayawan dan Cendekiawan

Kebanyakan cendiakawan antaranya Prof DiRaja Ungku Aziz termasuk golongan sasterawan dan budayawan menyatakan penentangan terhadap dasar PPSMI. Ini termasuk Sasterawan Negara antaranya A.Samad said, Prof Muhammad Hj Salleh dan Anwar Ridhwan bersatu menyatakan pendirian menentang dasar PPSMI. Satu kenyataan secara bersama dikeluarkan menerusi sidang media pada 5hb Mei 2009. Antara alasan yang diberikan :-
  • Malaysia seharusnya mencontohi sistem pendidikan negara Belanda, Belgium dan Switzerland yang rakyatnya boleh berbahasa Inggeris dengan tidak mengabaikan bahasa ibunda.
  • Penggunaan Bahasa Inggeris untuk bidang terpilih dengan sendirinya menciptakan dua jenis kewarganegaraan secara tidak langsung.
  • Kebanyakan pemenang Anugerah Nobel dalam semua bidang bukan datang dari negara yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda seperti Jepun, Perancis, India dan sebagainya.
  • Mereka menyokong dasar yang membuka mata dan ilmu yang dipelajari kepada dunia yang luas dan relevan serta kemaskini. Namun untuk perkembangan budaya dan jati diri bangsa, Malaysia perlu mempunyai sebuah bahasa penyatuan yang dipelajari, didalami dan dibanggai oleh seluruh rakyat Malaysia.


                    ii.        Ahli Politik Yang Menyokong

Perbahasan mengenai dasar PPSMI tidak terlepas pada pandangan politik, baik pihak pembangkang mahupun pemerintah. Antara ahli politik yang mendukung dasar PPSMI ialah Mukhriz Mahathir, anak kepada pencadang dsar itu sendiri. Beliau pernah menyatakan bahawa tujaun mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris bukanlah untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris, sebaliknya memudahkan rakyat mencapai pengetahuan yang bernilai dalam bidang Sains dan Matematik melalui pengetahuan Bahasa Inggeris.
Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye turut menyokong PPSMI. Beliau mengesyorkan kerajaan untuk menangani kelemahan dasar PPSMI ini dengan lebih berkesan khususnya yang melibatkan kefasihan guru-guru dalam Bahasa Inggeris. Namun begitu beliau tetap berpendirian bahawa tidak perlu dimansuhkan PPSMI ini.


                   iii.        Gerakan Mansuhkan PPSMI

Sekitar akhir tahun 2008 dan awal tahun 2009, bangkitnya sebuah gerakan bergelar Gerakan Mansuhkan PPSMI yang bermatlamat untuk memastikan dasar PPSMI dimansuhkan secepat mungkin. Gerakan ini dipimpin oleh Datuk Dr.Hassan Ahmad bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka. Perjuangan gerakan ini turut mendapat sokongan dan bantuan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) yang cuba mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan kerana melaksanakan dasar PPSMI yang didakwa mereka sebagai mencabuli Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) turut membangkang dasar PPSMI dengan membuat laporan polis berhubung pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

NASIB PPSMI

Kementerian Pelajaran telah mengadakan lima sesi persidangan meja bulat dalam kalangan ahli-ahli akademik, persatuan ibu bapa dan guru, kesatuan perguruan dan pertubuhan bukan kerajaan pada pertengahan tahun 2008 untuk mengkaji semula dasar PPSMI. Pada akhir Disember 2008, usul-usul yang dikemukakan berdasarkan perbincangan berkenaan ialah:-
                      i.        Meneruskan PPSMI seperti sedia ada.
                    ii.        Menggunakan Bahasa Melayu atau bahasa ibunda di peringkat sekolah rendah tetapi meneruskan PPSMI di peringkat sekolah menengah.
                   iii.        Memulakan PPSMI dari tahun Empat hingga sekolah menengah.
                   iv.        Menggunakan Bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah dan digunakan sepenuhnya di sekolah menengah
                    v.        Penggunaan bahasa pengantar untuk Sains dan Matematik ditentukan oleh sekolah.
                   vi.        Penggunaan Bahasa Melayu atau bahasa ibunda di Tahun Satu hingga Tiga, diikuti dwibahasa pada Tahun Empat hingga Enam dan penggunaan Bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah menengah, dan
                  vii.        Memansuhkan mata pelajaran Sains di Tahun Satu hingga Tiga tetapi mengajar ilmu Sains dalam mata pelajaran lain.


Apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Menteri Pelajaran baru di bawah tampuk pemerintahan Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-5, beliau masih belum berpuas hati dengan hasil kajian yang pernah dilakukan dan dibentangkan di sesi perbincangan meja bulat. Justeru itu beliau telah membuka semula pintu kepada kajian dan memorandum baru untuk semua pihak terhadap isu ini.
Akhirnya pada 8 Julai 2009, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran telah mengumumkan dasar PPSMI diberhentikan mulai tahun 2012 setelah melakukan kajian yang mendalam. Tun Mahathir Mohamad selaku orang yang bertanggungjawab memperkenalkan dasar ini memberikan reaksi yang tidak berpuas hati. Pada 9 Ogos 2009, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memperkenalkan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi menggantikan PPSMI yang memberi tumpuan kepada peningkatan pembelajaran bahasa-bahasa yang berkenaan. Rentetan dari itu banyak kritikan dan pandangan yang diterima daripada pelbagai lapisan masyarakat berhubung dengan pengenalan MBMMBI. Akhirnya pada 4 November 2011, Kabinet Malaysia telah memutuskan pemansuhan PPSMI adalah kekal dan kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula PPSMI seperti yang dituntut sesetengah pihak.
Tan Sri Muhyiddin bin Yassin selaku Menteri Pelajaran telah memutuskan untuk meminda PPSMI kepada MBMMBI  sesuai dengan keupayaan pelajar mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran bagi Sains & Matematik.Tambahan itu, Muhyiddin akan menubuhkan Majlis Bahasa Inggeris pada tahun 2012 bagi menentukan penanda aras dan tahap pencapaian Bahasa Inggeris  pelajar dalam sistem persekolahan negara. Katanya, majlis tersebut bakal berkelayakan sebagai tempat rujukan dan menentukan tanda aras bahasa itu akan menggunakan pakar dalam dan luar negara serta mengadakan kerjasama dengan Universiti Cambridge.

KESIMPULAN
Pelaksanaan program PPSMI merupakan sesuatu yang baik sesuai dengan perubahan masa hadapan dunia pendidikan. Seperti diketahui, ramai pihak yang menentang dasar ini dijalankan kerana melihat kepada kemunduran Bahasa Melayu itu sendiri. Ramai pihak yang amat mengalu-alukan usaha kerajaan untuk memperkenalkan negara ini ke peringkat global, namun apabila meminggirkan Bahasa Melayu dalam arus pendidikan nasional, maka ia seolah-olah menghalang usaha perpaduan bagi mewujudkan satu bangsa Malaysia melalui satu bahasa pertuturan nasional.
Selain itu, dasar ini juga meminggirkan sesetengah pihak terutamanya murid-murid sekolah pinggir bandar. Dasar ini memihak berat sebelah kepada anak-anak keluarga di kawasan yang berpendapatan tinggi. Ini kerana kebanyakan ibu bapa mereka berpendidikan tinggi sudah tentu penggunaan Bahasa Inggeris dalam kalangan mereka meruapakan sesuatu yang biasa dalam kehidupan seharian. Dalam masa yang sama akan meluaskan lagi jurang antara golongan kaya dan miskin baik di bandar mahupun luar bandar.
Pelbagai pihak yang memberikan tentangan dan pandangan negatif terhadap pelaksanaan dasar ini lebih kepada sayang dan cinta akan Bahasa Melayu. Tidak dinafikan Bahasa Melayu sekarang melalui zaman kemunduran akibat dihimpit oleh arus globalisasi dengan penggunaan bahasa penjajah secara meluas. Hanya melalui pendidikan usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu mampu untuk diteruskan secara konsisten. Apabila penggunaan bahasa asing dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik ini akan membunuh usaha memajukan dan mengembangkan penggunaan Bahasa Melayu secara senyap.Justeru apabila kerajaan memansuhkan dasar ini secara berperingkat dan secara rasmi mulai tahun ini (2012) dengan memperkenalkan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), amatlah disambut baik.

http://www.cikgudahlia.com/2011/11/isu-pemansuhan-ppsmi-terkini-tahun-2021.html

No comments:

Post a Comment