Wednesday 29 August 2012

REAKSI IBU BAPA KINI BILA ANAK DIAMBIL TINDAKAN DISIPLIN

REAKSI IBU BAPA KINI BILA ANAK DIAMBIL TINDAKAN DISIPLIN
Tidak memeranjatkan hari ini, tindakan ibu bapa yang membuat laporan polis dan menyaman pihak sekolah ialah senario yang biasa hari ini.  Ia antara faktor yang menyebabkan guru, pengetua dan pihak sekolah terpaksa menyembunyikan kes disiplin pelajar di sekolah. Selain ada sesetengah sekolah yang bertindak begitu kerana ingin menjaga nama baik sekolah masing-masing. Dengan tanggungjawab berat yang terpaksa dipikul di samping tidak ada pihak yang membela jika pengetua dan guru disaman oleh ibu bapa maka mereka seolah-olah menutup mata terhadap masalah disiplin yang berlaku di depan mata.
Ya…betul menjadi guru adalah suatu pekerja yang sangat mulia dan bukan mudah sebenarnya lebih-lebih lagi berhadapan dengan kerenah pelajar di sekolah pada hari ini. Kadang-kadang dilihat guru dilihat hanya mampu menangis dalam hati melihatkan :
Anak-anak yang terbiar ini dan yang datang dari keluarga yang tidak berapa ambil berat tentang pendidikan anak-anak.. Yang mewah dengan pelbagai harta benda tetapi teramat miskin perhatian dan kasih sayang daripada ibubapa sendiri.
Mak ayah yang hanya turunkan anak dari kereta-kereta mewah di pintu pagar sekolah, terus meluncur pergi tanpa sempat singgah di majlis khas untuk ibu bapa, kerana ada urusan kerja!!!
Pastinya guru lebih gembira sehingga menitis air mata melihat :
Seorang ayah yang hanya datang dengan basikal buruk disambut gembira oleh anak yang sedia menunggu di sekolah. Apabila ada perjumpaan antara ibubapa dengan guru, ayah yang seperti inilah yang menghadirkan diri.
Peranan ibu bapa cukup besar untuk mendidik dan membentuk sahsiah anak-anak kerana sebahagian besar masa mereka sepatutnya bersama ibu bapa. Di sekolah masa yang terhad perlu diagih antara memberi pelajaran yang telah ditetapkan oleh kementerian dan dalam pada masa yang sama membentuk perangai pelajar. Dalam pada masa yang sama, anak itu juga perlu ada kesedaran diri, disiplin diri.
Pada pandangan saya, cikgu-cikgu yang mengajar bukannya mengharapkan anda semua jadi jurutera, doktor, peguam atau apa sahaja jawatan tinggi. Cukuplah sekadar menjadi insan yang berguna. Sememangnya kejayaan anak didik adalah kebanggaan semua guru-guru dan warga pendidik. Namun ingatlah guru hanya memberikan kunci dan andalah yang akan menentukan penggunaan kunci itu setakat mana. Guru dan ibu bapa adalah sebahagian dari kejayaan anda, namun anda sahaja yang dapat menentukan dan mencorakkan kejayaan anda sendiri. Tanpa usaha anda, ilmu yang dicurahkan tidak akan kemana, ibarat menuang air ke daun keladi.
Terima kasih kerana menghargai jasa guru dan seluruh warga pendidik.

No comments:

Post a Comment